Kelantan 2 - 1 Terengganu : Penyu Lemas Di Lautan Merah The Red Warriors

Posted by The12thWarriors Team On Saturday, February 11, 2012 0 comments
Kesebelasan utama Kelantan.

Skuad Kelantan,bimbingan jurulatih Peter James Butler sekali lagi berjaya melakarkan kemenangan di Stadium Sultan Muhammad IV.Kejayaan Kelantan menundukkan pasukan jiran tetangga,Terengganu 2-1 ini turut mengekalkan rekod tanpa kalah pasukan Kelantan setelah mengharungi 7 perlawanan dalam saingan Liga Super 2012.Kemenangan pada malam ini membolehkan Kelantan merampas kembali takhta liga dari Perak setelah pasukan itu tewas 0-2 kepada pasukan T.Team. ( rujuk carta liga The 12th Warriors )

Skuad Kelantan dalam perlawanan malam tadi telah menampilkan aksi-aksi yang memberangsangkan.Beberapa perubahan posisi pemain dan taktikal telah menyuntik keputusan yang amat positif.Gandingan Indra Putra dan Norshahrul di bahagian serangan telah berjaya membuatkan benteng pertahanan pasukan lawan terpaksa bekerja keras.Permainan yang pantas dan tersusun yang ditunjukkan oleh pemain Kelantan sememangnya berjaya membuatkan pertahanan lawan menjadi kelam kabut.Kejayaan kapten mengemudi bahagian tengah dengan baik bersama-sama Shakir Saari dan larian pantas dari S.Chanturu dan Nurul Azwan Roya begitu menghiburkan seluruh penyokong The Red Warriors.

Kapten 'Piya' diasak oleh dua pemain Terengganu

Pasukan Kelantan berjaya mendahului pada minit ke-37 setelah Norshahrul merembat bola menuju ke gawang gol dalam kotak penalti sebelum bola terkena bahu pemain pertahanan Terengganu dan terus membias menerjah jaring gol menewaskan Sharbinie,penjaga gol Terengganu.

Pada malam tadi juga,pujian harus diberikan kepada pemain import baru Kelantan,pemain di posisi pertahanan,Obinna Nwaneri yang bermain begitu cemerlang sekali mengemudi benteng pertahanan.Pada malam tadi juga menyaksikan pemain import berbisa Terengganu,Franky Doe gagal melakukan serangan dengan berkesan kerana di kekang hebat oleh Obinna.Setiap hantaran Obinna juga banyak membantu jentera tengah Kelantan untuk melakukan serangan ke kubu lawan.

Gol kedua Kelantan terhasil pada minit ke 53 hasil tandukan kapten pasukan,Badri Radzi yang tepat menerjah jaring gol setelah menerima hantaran dari Indra Putra.Kejayaan mendahului pasukan lawan dengan jaringan 2-0 membangkitkan semangat pemain-pemain Kelantan.5 minit sebelum tamat permainan,Kelantan memasukkan Mohammed Ghaddar dan tidak sampai 30 saat dimasukkan,pemain ini dijatuhkan dalam kotak penalti membolehkan Kelantan di hadiahkan sepakan penalti.Namun begitu peluang Kelantan untuk menambahkan jaringan tidak kesampaian apabila sepakan penalti yang diambil sendiri oleh Ghaddar berjaya di tepis keluar oleh penjaga gol Terengganu,Sharbinie Alawee.

Masa Tambahan 3 minit dimanfaatkan sepenuhnya oleh pasukan Terengganu dan hasilnya kelekaan pertahanan Kelantan membolehkan Ashaari Samsuddin melakukan rembatan deras dari dalam kotak penalti menggegarkan palang gol Kelantan sebelum melantun masuk kedalam pintu gol Kelantan.Tamat perlawanan,Kelantan berjaya menewaskan pasukan Terengganu dengan jaringan 2 berbalas 1 untuk mengungguli carta liga super.

Kredit Gambar : Jphotography

0 comments:

Post a Comment