The Red Warriors berwajah baharu

Posted by The 12th Warriors On Saturday, October 25, 2014 0 comments


  • Mohd Badhri (kanan) dan Khairul Fahmi antara pemain yang terus menunjukkan kesetiaan untuk kekal bersama negeri kelahirannya.




           KURANG dua minggu selepas tersingkir daripada kempen Piala Malaysia musim ini, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) kembali membina semula pasukan The Red Warriors untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Biarpun perasaan kecewa tersingkir di tangan Kedah masih berbekas, namun setidak-tidaknya langkah Kafa memulakan persiapan awal dengan mengekalkan sebahagian besar tonggak utama musim ini menutup kesedihan penyokong Merah Putih itu.



Pengumuman Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa mengenai 15 pemain yang dikekalkan itu memberi signifikan betapa mereka kini bersedia mencabar kejuaraan meskipun terpaksa tunduk dengan kuasa wang untuk memastikan tonggak itu setia bersama Kelantan.

KETUAI SENARAI


Bakal mencecah usia 33 tahun pada musim depan, kelibat kapten yang juga pemain paling berpengaruh dalam pasukan Kelantan iaitu Mohd Badhri Radzi atau dikenali panggilan Piya masih lagi relevan untuk pasukan itu memburu kejuaraan.

Turut tersenarai ialah dua pemain yang mengikat kontrak jangka panjang, Khairul Fahmi Che Mat dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Farisham Ismail dan Mohd Khairul Izuan Rosli.

Sesuatu yang melegakan bagi penyokong fanatik mereka ialah Brendan Gan tidak akan ke mana-mana, sebaliknya terus setia menabur bakti bersama bekas juara tiga piala musim 2012 itu.

IMPORT BAHARU

Kehadiran penyerang Persebaya Surabaya dalam Liga Super Indonesia, Emmanuel Kenmogne secara senyap-senyap ke Kota Bharu minggu lalu memberi isyarat pemain berusia 34 tahun itu hampir pasti diikat untuk bersama TRW musim depan.

Ini diperkukuhkan lagi apabila pemain kelahiran Cameroon itu telah menjalani ujian kecergasan, satu amalan baharu yang diguna pakai oleh Kafa ekoran tersalah membeli penyerang import tempang, musim lalu.

Yang pasti, Hussein Alaa Hussein Salman dan Francis Forkey Doe bakal mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Kelantan. Forkey Doe biarpun menyerlah dalam kempen Piala Malaysia musim ini namun itu tidak cukup buat Kafa untuk terus mengekalkan pemain kelahiran Monrovia, Liberia itu.

Sementara itu, peluang Mohamed Shawky Aly Abu El Yazid untuk terus kekal tampak cerah jika mencapai persetujuan dalam rundingan bersama Kelantan ketika pasukan itu juga dikatakan mahu memancing Jonathan McKlain (Australia) dan Farhod Tadjiyev (Uzbekistan) pada musim depan. ~ SINAR HARIAN 

0 comments:

Post a Comment