McKain hampir pasti sertai TRW

Posted by The 12th Warriors On Thursday, October 23, 2014 0 comments



   BEKAS tonggak pertahanan skuad kebangsaan Australia, Jonathan McKain hampir pasti menyarung jersi The Red Warriors bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Sumber dalaman berkata, McKain sudah berada di Kota Bharu sejak tiga hari lalu bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran dan dijangka menyertai latihan di bawah kendalian pengendali pasukan, George Boateng sedikit masa lagi.

“McKain sudah pun tiba di sini dan peminat bola sepak tempatan kemungkinan besar berpeluang menyaksikan kehebatannya apabila turun berlatih dalam masa terdekat.

“Difahamkan, dia sudah menjalani ujian kecergasan ketika berada di Australia dan di Kota Bharu. Kehadiran pemain ini pastinya mampu menyelesaikan masalah benteng pertahanan setelah Hussein Alaa Hussein Salman yang menggantikan Obinna Nwaneri
pada pertengahan musim ini gagal menyerlah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

McKain, berketinggian 1.85 meter mampu bermain di dua posisi iaitu pertahanan tengah dan pemain tengah bertahan merupakan bekas pemain bawah 23 tahun Australia (2004) selain menyarung jersi skuad kebangsaannya (2004-2011).

Tonggak pertahanan berusia 32 tahun itu juga pernah mewakili kelab Al-Nassr dalam Liga Profesional Arab Saudi (2010-2011) ketika di bawah kendalian jurulatih Itali, Walter Zenga selain Adelaide United FC (2011-2014) dalam Liga A Australia dengan 47 penampilan.

Sumber dalaman turut memberitahu, dua lagi pemain import yang beraksi di posisi serangan, Emmanuel Kenmogne (Cameroon) dan Farhod Tadjiyev (Uzbekistan) juga akan menyertai skuad The Red Warriors dalam masa terdekat.

“Dengan kehadiran semua pemain import itu nanti, bererti Kelantan tidak akan berdepan masalah untuk memulakan persiapan pra musim lebih awal setelah tersingkir pada kempen Piala Malaysia yang sedang memasuki saingan separuh akhir ketika ini,” katanya. ~ SINAR HARIAN  

0 comments:

Post a Comment