TIRAI LIGA MALAYSIA 2014 BAKAL DISINGKAP, DEBARAN MAKIN TERASA

Posted by The12thWarriors Team On Monday, December 30, 2013 0 comments
Tanggal 17 Januari 2014 bakal menjelmakan kembali saingan Liga Malaysia dengan aksi Piala Sultan Ahmad Shah( Piala Sumbangsih) menjadi pembuka gelanggang.Pertembungan antara juara Piala Malaysia 2013(Pahang) dan juara Liga Super 2013 (Lions XII) bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur,Kuantan setelah venue asal Stadium Shah Alam tidak dapat digunakan.Menariknya,aksi Piala Sumbangsih kali ini turut diambil kira sebagai perlawanan liga Super di mana akan ada pemberian mata.

Pasti ianya akan menjanjikan satu perlawanan menarik di antara dua juara ini yang telah membuktikan keupayaan mereka pada musim 2013.Pengenalan kuota pemain import yang turut ditambah menjadi 3+1 (seorang mestilah pemain dari Asia) turut merancakkan lagi persiapan pasukan bertanding.Beberapa pasukan dilihat "agresif' dalam pasaran perpindahan pemain bagi menambah kekuatan mereka.Pentas Liga Super akan diteruskan pada 18 Januari 2014 dan Liga Perdana turut membuka saingan pada 24 Januari.Manakala pemburuan Piala FA bermula pada 21 Januari nanti.

Kini dalam tempoh yang ada sebelum saingan sebenar bermula,setiap pasukan sedang sibuk mempersiapkan jentera mereka dengan mengadakan perlawanan pra musim.Masing-masing mempunyai perancangan dan strategi tersendiri bagi menghadapi musim yang dijangka semakin mencabar ini.Pastinya para peminat,penyokong,pemerhati dan pengkritik bolasepak tidak sabar menantikan sepak mula musim baru Liga Malaysia.Kebanjiran penyokong di beberapa venue semasa perlawanan pra musim sudah cukup menceritakan betapa mereka 'kehausan' aksi bermutu bolasepak tempatan.

Saingan pada musim hadapan turut menarik minat para penaja seperti pembekal pakaian jenama sukan terkenal.Antaranya pasukan Terengganu akan memperagakan jersi jenama Umbro,Pasukan Felda United dan Pahang memakai jenama Puma manakala pasukan ATM bersama jenama Lotto.(sekadar beberapa contoh).Tidak terkecuali tumpuan pasti terarah kepada limpahan pemain ternama yang bakal membawa cabaran pasukan berbelanja besar,Johor Darul Takzim (JDT).Tidak cukup dengan itu,JDT turut menyunting bekas bintang Argentina,Pablo Aimar di mana kehadiran bintang import berprofil tinggi ini akan menyuntik kemeriahan dan prestij saingan Liga Malaysia 2014.

Namun perancangan dan persiapan pasukan lain seperti Terengganu,T Team,PDRM,ATM,Felda United(sekadar beberapa contoh) juga rancak dengan kemasukan beberapa pemain tempatan dan import berkualti bagi menambah sengat kepada pasukan demi merealisasikan sasaran masing-masing.Kembalinya beberapa orang pemain import yang pernah menghiasi pentas saingan satu ketika dulu turut mencuri tumpuan.Antaranya bekas pertahanan import Terengganu,Fabio Flor yang akan menyarung jersi kelab T- Team (Terengganu) dan bekas wira pasukan MPPJ FC,Juan Manuel Arostegui yang kembali lagi dan akan mengibar cabaran bersama pasukan ATM.

Kontroversi seakan sinonim dengan saingan Liga Malaysia di mana beberapa isu perpindahan pemain turut menjadi santapan sebelum liga bermula.Antaranya status Amirul Hadi Zainal yang diberitakan telah mengikat kontrak dan didaftarkan oleh pasukan Pahang tetapi kini telah disahkan oleh FAM menjadi milik Johor Darul Takzim. Namun Amirul telah dikenakan denda sebanyak RM 25,000 atas kesalahan 'menyembunyi status sebenar kontrak'nya.Selain itu,beberapa kes melibatkan pemain seperti Nazri Ahmad(JDT),Norfarhan Muhammad (Kelantan),Safee Sali (JDT),Hairuddin Omar dan Norfazly Alias( ATM ) turut menghiasi dada dada akhbar tempatan.Namun isu mereka dikatakan berjaya 'diselesaikan' di luar 'mahkamah FAM'.

Kredibiliti pengadil/pegawai perlawanan akan turut menjadi perhatian ramai setelah beberapa keputusan mereka yang meragukan dan lemah dipertikaikan pengurusan mahupun penyokong pasukan berkenaan.Tindakan FAM mengenakan hukuman kepada pengadil terbabit membuktikan akan hakikat tersebut.Namun usaha FAM menambahbaikan sistem pengadilan pada musim 2014 harus disambut baik bagi memastikan mutu pertandingan terpelihara.

Kemeriahan Liga Malaysia 2014 kian terasa.Info -info semasa baik dari media utama tempatan mahupun di laman sosial silih berganti menghidangkan perkembangan terkini menjelang musim baru.Mampukah Pahang menambah koleksi kejuaraan di Darul Makmur nanti?.Sama sama kita nantikan aksi pembuka tirai yang pastinya akan menggamit kehadiran ramai penonton.Semoga perjalanan liga kita akan berjalan lancar tanpa sebarang kontroversi,insiden dan perihal yang tidak diingini meskipun saban tahun kita tidak 'terlepas' disajikan dengan beberapa isu baik di dalam atau di luar padang.Selamat berjaya Liga Malaysia.Jumpa lagi 2014.

Salam Kesukanan,

________________
Md Duang,
Penulis Baru Nak Belajar (Bebas)

0 comments:

Post a Comment