Penjaga Gol Kelantan : Hamid Ramli

Posted by The12thWarriors Team On Tuesday, July 2, 2013 0 comments

Masihkah anda semua ingat dengan Hamid Ramli,bekas penjaga gol kebangsaan dan Kelantan.Walaupun beliau telah lama meninggalkan skuad Harimau Malaya dan Kelantan,kelibat beliau masih lagi boleh dilihat di atas padang.Kini beliau bertindak sebagai Jurulatih Penjaga Gol di Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera Malaysia.Bagi generasi muda,nama Hamid Ramli mungkin sesuatu yang asing bagi mereka,tetapi bagi mereka yang "lama" nama ini tidak asing lagi dalam kancah saingan bolasepak Malaysia.

Peminat-peminat bolasepak negara pada tahun 70an-80an,pasti akan mengingati ketangkasan kelibat bekas penjaga gol kebangsaan dan negara ini.Ketangkasan dan kelincahannya telah banyak mengecewakan pihak lawan untuk mendapatkan gol.Bagi Hamid Ramli,karier bolasepaknya telah bermula pada edisi Piala Burnley dan kemudiannya dipanggil pula sebagai Piala Razak.Bagi Hamid Ramli,bermain bolasepak ini hanyalah untuk bertujuan suka-suka sahaja bagi mengisi masa lapang.Bermula sebagai seorang penyerang dengan Kelab Persatuan Driver Kelantan,bakat dan permainan beliau telah dihidu oleh pihak pengurusan bolasepak Kelantan yang menyaksikan permainan beliau pada masa itu.

Pada tahun 1972,kelibat Hamid Ramli telah bermula bersama pasukan negeri,tetapi posisi asal beliau sebagai penyerang telah di ubah oleh jurulatih kelantan pada masa itu,Mohamad Che Su ke posisi penjaga gol.Pada masa itu Kelantan kekurangan penjaga gol yang berwibawa.Semenjak itu,beliau terus berlatih sebagai penjaga gol,posisi yang amat asing bagi seorang penyerang.Bagi Hamid Ramli,semua itu tidak menjadi masalah kepadanya kerana berkat latihan dan tunjuk ajar daripada jurulatih,beliau berjaya memiliki sepasang tangan "emas".Menurutnya lagi,semasa sesi latihan beliau selalu melompat tinggi untuk membiasakan diri dengan situasi bola tinggi yang digemari oleh sesetengah penyerang dalam usaha mendapatkan gol.
Mengimbau detik manis beliau semasa mewakili negara,meraih Pingat Emas sukan Sea Jakarta merupakan kenangan manis yang tersemat kemas di jiwa.Kejayaan meraih pingat emas di jakarta begitu tersemat di jiwa kerana berjaya mengharungi gelora Senayan yang begitu ramai dengan penyokong pasukan tuan rumah.Saat paling manis bermula pada tahun 1979 apabila beliau dipilih menggantikan Arumugan sebagai penjaga gol utama skuad kebangsaan dengan Juara Pestabola Merdeka dan memenangi Pingat Emas Sukan Sea Jakarta.Kecekapan Hamid Ramli membaca pergerakan bola membolehkan beliau menamatkan penguasaan "spiderman" untuk muncul sebagai penjaga gawang negara yang gemilang.
Ditanya pula mengenai pengalaman yang tidak boleh dilupakan semasa menjadi penjaga gol,beliau menceritakan keadaan cemas didepan pintu gol negara semasa sukan sea di Jakarta menentang tuan rumah,Indonesia dalam aksi merebut Pingat Emas perlawanan akhir acara bolasepak."Pada ketika itu saya berada di luar posisi dan Jamal Nasir pada ketika itu telah menolak bola ke belakang tanpa menoleh dimana saya berada,tetapi mujurlah Chin Aun sempat menolak bola yang sedang menuju ke gawang negara itu keluar.Saya amat berterima kasih kepada beliau."kata Hamid Ramli yang tidak dapat melupakan detik-detik cemas itu sehingga hari ini.Hamid Ramli yang kini menetap di ibunegara kerana menjadi Jurulatih Penjaga Gol Pasukan Bolasepak ATM mengakui kejayaan mempertahankan kubu negara daripada dicerobohi tidak akan berjaya tanpa sokongan padu rakan sepasukan terutama Chin Aun dan Jamal.Bagi Hamid,skuad 1979 adalah yang terkuat kerana dibarisi oleh pemain-pemain handalan dan dibimbing oleh Karl Heinz Weigang.Sukan Sea 1979 menurut Hamid,telah menyuntik nostalgia kerana buat pertama kali telah dipertanggungjawabkan sebagai penjaga gol kesebelasan utama yang berakhir dengan kenangan indah bukan sahaja buat dirinya,tetapi seluruh rakyat Malaysia.



Kepada Hamid Ramli,kami di The 12th Warriors mengucapkan selamat maju jaya dengan karier yang anda ceburi.Kehebatan dan ketangkasan anda telah memberi seribu erti kepada bolasepak negara suatu masa dahulu.Sebagai rakyat Malaysia dan Kelantan,kami berbangga dengan anda.
Gomo Kelate Gomo...!!

Pencapaian Terbaik Hamid Ramli :
Juara Pestabola Merdeka 1976 dan 1979
Pingat Emas Sukan Sea Jakarta 1979
Final Piala Asia Iran 1976
Pra Piala Asia Kuwait 1980
Layak Sukan Olimpik Moscow ( boikot )
Penerima Anugerah Olahragawan Kelantan

0 comments:

Post a Comment